Wednesday, January 23, 2013


MAULIDUR RASUL SEMPENA KELAHIRAN NABI MUHAMMAD S.A.W.


Maulidur Rasul (kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan(Kelahiran) Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal pada hari Isnin(Dari hadith riwayat Muslim, 8/25), 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid nabi.
Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.
Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala  dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal soleh.
Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah SWT akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.
Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya


Kisah disebalik kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.


Tahun Gajah diperkirakan terjadi pada tahun 570 Masihi & 52 tahun sebelum Hijrah. Nama tahun ini diambil sempena peristiwa penyerangan Kota Makkah sebelum Islam oleh Tentera Bergajah Abrahah. Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan pada tahun ini.
Abrahah juga dikenali sebagai 'Abrahah al-Ashram ialah seorang wizurai(raja muda) Kristian di selatan Semenanjung Arab dan kemudian Raja Saba' (Yaman) pada zaman pra kedatangan Nabi Muhammad s.a.w.
Menurut sejarawan Islam awal seperti Ibnu Ishaq, Abrahah yang merupakan Gabenor Yaman yang berasal dari Habsyah sekarang, membangunkan sebuah gereja yang besar di Sana'a yang dikenali sebagai "Al-Qulais", dengan tujuan memikat bangsa Arab jahiliah dari terus mengunjungi Kaabah di Makkah. Gereja ini menjadi terkenal dan Abrahah cuba memikat penziarah Kaabah untuk menziarahi gerejanya. Salah seorang anggota suku Quraisy sangat marah akan hal ini dan ia pergi ke Sana'a, dan seterusnya ke gereja tersebut pada malam hari dan mengotorinya.
Abrahah kemudian mengeluarkan perintah ekspedisi penyerangan terhadap Makkah, dipimpin oleh seekor gajah (ada kemungkinan juga terdapat gajah lain) untuk menghancurkan Kaabah. Beberapa suku Arab menghadang pasukan Abrahah, tetapi dapat dikalahkan.
Seketika tentera bergajah Abrahah berada dekat dengan Makkah, Abrahah mengirim utusan yang mengatakan kepada penduduk Kota Makkah bahawa mereka tidak akan bertempur dengan mereka jika mereka tidak menghalangi penghancuran Kaabah. Abdul Mutallib, kepala suku Quraisy, mengatakan bahawa ia akan mempertahankan hak-hak miliknya, tetapi Tuhan akan mempertahankan rumah-Nya yakni Kaabah, dan ia mundur ke luar kota dengan penduduk Mekkah yang lain.
Hari berikutnya, ketika Abrahah bersiap untuk masuk ke dalam kota Makkah, maka terlihatnya burung-burung (Ababil) yang membawa batu-batu kecil lagi berapi (diriwayatkan batu-batu itu berasal dari neraka jahannam) dan melemparkannya ke pasukan Abrahah; setiap orang yang terkena pasti terbunuh, yang lain lari dengan penuh rasa kecemasan dan Abrahah sendiri pun turut cedera parah dan mati akhirnya dalam peristiwa itu.
Peristiwa ini telah berlaku pada sekitar tahun 570-571 Masihi. Namun, tahun tersebut lebih dikenali sebagai Tahun Gajah. Peristiwa serangan tentera bergajah ini turut diceritakan Allah dalam al-Quran dalam Surah Al-Fiil.

*Maklumat di atas diambil dari pelbagai sumber rujukan.

No comments:

Post a Comment

ASAL USUL KELAHIRAN DAJJAL (Part 2)

DAJJAL DISELAMATKAN OLEH MALAIKAT JIBRIL A.S Anak lelaki itu tinggal bersendirian di pulau tersebut. Dia sentiasa dijaga, diawasi, sert...